Thursday, December 27, 2012

Puisi Buat Ibu


Ibu,
Dapat ku merasakan betapa gembiranya ibu,
Sewaktu mendapat berita yang ibu bakal menerima cahayamata,
Perasaan ibu waktu itu tak dapat digambarkan,
Kegembiraan juga terpancar diwajah ayah
Apabila menerima khabar tersebut..

Ibu,
Ingin sekali aku memohon maaf,
Kerana sejak dari dalam kandungan lagi,
Anakmu ini telah menyakiti ibu,
Waktu itu ibu tak pernah marah dan,
Sedikitpun ibu tak pernah salahkan anak ibu,
Kerana ibu tahu yang kandungan ibu sihat..

Ibu,
Setelah sembilan bulan aku dalam kandungan ibu,
Kini tiba saatnya untuk ibu berikan peluang untukku,
Untuk melihat dunia luar,
Maafkan aku sekali lagi ibu,
Kerana sekali telah menyakiti ibu sewaktu melahirkan aku,
Tapi setelah mendengar tangisanku yang pertama,
Sakit yang ibu rasakan sama sekali hilang,
Yang ada pada ketika itu hanya airmata kegembiraan,
Yang jelas terpancar diwajah ibu,
Kehadiran aku disambut dengan tangan terbuka,
Menjadi ahli baru dalam keluarga ibu..

Ibu,
Sewaktu aku masih kecil,
Ibu menatang anak ibu bagai menatang minyak yang penuh,
Aku dibelai dengan penuh kasih sayang,
Ibu tak pernah jemu menjaga aku siang dan malam,
Maafkan aku ibu,
Kerana sejak kehadiranku,
Tidurmu tak pernah lena,
Seringkali aku menangis kehausan susu,
Disaat ibu enak dibuai mimpi,
Tapi ibu sedikitpun tak pernah merungut,
Malah ibu terus mendapatkan aku,
Kadang-kadang aku dibuai mimpi,
Ibu terus berjaga disisiku,
Selepas beberapa bulan disamping ibu,
Sekali lagi ibu gembira setelah mendengar perkataan ‘Mak’,
Kerana itulah panggilanku yang pertama pada ibu..
Ingin ibu binakan untukku,
Kehidupan sempurna,
Punya kekuatan jiwa,
Punyai maruah..

Ibu,
Setelah anak ibu ini makin membesar,
Aku semakin nakal,
Tapi ibu tak pernah marah,
Walaupun terpaksa mengejar aku ke sana ke mari,
Ibu hanya tersenyum melihat telatah anak ibu,
Ibu akan memastikan keselamatan aku,
Walaupun ibu sentiasa sibuk dengan kerja rumah,
Bila aku deman,
Ibu terus membawa aku ke klinik,
Aku mohon maaf ibu,
Kerana sekali lagi terpaksa menyusahkan ibu..

Ibu,
Setelah hari berganti hari,
Bulan berganti bulan,
Dan tahun berganti tahun,
Kini aku mampu bercakap,
Berjalan dan berlari di atas tunjuk ajar ibu,
Semasa aku sudah berusia enam tahun,
Ibu mempersiapkan aku untuk dihantar ke tadika,
Setibanya di sekolah,
Aku menangis kerana takut ibu tinggalkan aku,
Maaf sekali lagi kerana telah menyusahkan ibu,
Ibu terpaksa tunggu di luar kelas memerhatikan aku,
Setelah beberapa hari di sana,
Ibu meninggalkan aku sendirian di sekolah bersama teman-teman,
Ibu sering menghantar dan menjemput aku..

Ibu,
Setelah aku memasuki alam persekolahan,
Kau tetap seperti dulu,
Memastikan anakmu ini tidak terabai,
Ibu telah bersusah payah membesarkan aku,
Setiap kali aku mendapat keputusan yang teruk,
Ibu sentiasa menasihati aku supaya belajar bersungguh-sunggguh,
Dan disetiap kalu aku memperoleh keputusan yang memuaskan,
Kau membalasnya dengan memberikan apa yang aku inginkan,
Setelah menduduki peperiksaan,
Ibu sedikit kecewa, 
Bila aku tidak berjaya mendapat keputusan yang cemerlang,
Namun ibu tetap menerima anak ibu seadanya,
Terima kasih ibu..

Ibu,
Semasa aku di usia remaja,
Aku sering kali melawan ibu,
Maafkan anakmu ini ibu,
Aku tidak berniat untuk sakitkan hati ibu,
Aku cuma perlukan sedikit kebebasan hidup,
Leteran ibu lahir dari rasa luhur,
Memujuk sebelum ku terlanjur,
Itulah yang ibu warisi pada aku,
Pesanan ibu sentiasa terpahat di hati,
Sentiasa memperingatkan dan berpesan,
Untuk kebaikan anak ibu,
Aku tahu,
Marah ibu bukan kerana benci,
Tapi tanda sayang yang tak pernah luntur pada anak ibu..

Ibu,
Semasa aku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran,
Sekali lagi ku melihat ibu menangis,
Kerana ibu terpaksa melepaskan anak kesayangan ibu pergi,
Berjauhan dari ibu,
Aku tahu yang ibu takut aku mengikut kawan-kawan yang tidak elok,
Tapi Alhamdulillah ibu,
Segala pesanan ibu tak pernah ku lupakan,
Setelah mendapat berita yang aku berjaya menamatkan pengajian,
Ibulah orang pertama yang gembira menerima khabar tersebut,
Tak sabar ibu menunggu kepulangan anak ibu,
Bilik aku ibu bersihkan,
Ibu sambut kepulangan anak ibu dengan airmata kegembiraan..

Ibu,
Kini aku telah meningkat dewasa,
Dan berjiwa merdeka,
Sedangkan ibu semakin tua membilang usia,
Disaat ku berjaya dalam hidup,
Ibu dah tiada berdaya,
Dan aku harus menentukan hala tuju hidup aku,
Kini kita akan terpisah lagi untuk sementara waktu,
Pergi ku kali ini tidak dihalang,
Kerana ibu sendiri mengerti,
Yang aku harus tentukan hidup aku sendiri,
Hanya doa ibu yang mengiringi perjalananku..

Ibu,
Diwaktu ku dibuai mimpi sewaktu kecil dulu,
Ibu sentiasa berjaga sepanjang hari,
Diwaktu ku bersenang,
Kau berkerja untuk membersarkan aku,
Untukku tiada terbatas,
Ibu memberi semuanya tanpa minta dibalas,
Semoga aku tak lupakan,
Jasa ibu kepada aku selama ini,
Terima kasih ibu,
Jasamu tidak terbalas..


Hasil Nukilan : Nik Mohd Saifuddin Nik Ismail
Sumber : Facebook (Note)
Tarikh : 19/07/2010
Bicara Kata :
x sangka abang Nik pandai mengarang puisi...
abang Nik, kenalan aq masa belajar di PoliMAS dlu..
sama2 tinggal dalam satu rumah sewa selama setahun...
walaupon terdapat jurang usia, kami masih mampu bersahabat...

puisi y dikarang ni nampak panjang tapi penuh emosi
puisi yang sarat dengan kasih sayang seorang insan yang bergelar "ibu"
hayatilah puisi ni dari mata hati...
anda akan memahaminya :)

Monday, December 24, 2012

Siapa Kita Disisi Mereka?




kita disaat ini
tekun belajar seharian di sekolah
bersuka ria melepak dan berkelah
tak menang tangan membeli belah
kaya buah-buahan tak cukup galah
segalanya tersedia tak usah berpenat lelah


mereka disaat ini
mengikat perut tak cukup bekalan
hilang keluarga dalam pergelutan
berlantai bumi berbumbung langit tiada kediaman
takkala bom tak henti-henti berdentuman
gugur syahid dalam peperangan menjadi idaman


kita ketika ini
merempit siang malam tak ingat rumah
bergaduh bertumbuk memaki menyumpah
semakin banyak yang jadi sampah
akhlak dan adab dah tak diendah
masih bangga mengaku "tanah darahku tumpah"


mereka ketika ini
gagah bangkit walaupun dipijak
tak pernah berundur walau ditolak
berkecai badan ditembusi peluru dan jentolak
sanggup mati dari tergadainya akhlak
oleh kekejaman orang-orang tak berotak


disaat ini
pernahkah kita terfikir
siapa kita? siapa mereka?
pernahkah kita berfikir
sanggupkah kita menerima ujian sebesar mereka?
pernahkah kita memikirkan
apakah nasib mereka kelak?


ketika ini
kita menyaksikan kekejaman
hanya doa dan bantuan mampu dihulurkan
semoga mereka cekal meneruskan kehidupan
bersabar bersabar bersabar menempuhi ujian
suatu hari pasti ada sinar harapan
yang pasti merubah segala keperitan





Hasil Nukilan : SAIFUL BASRI ABDULLAH / KotakMancis
Bicara Kata : 
luangkan sedikit masa kita untuk mengapdate berita-berita terkini berkaitan saudara2 seagama kita yang bertarung nyawa menegakkan Islam... sesunggunya kita sngat bersyukur kerana dikurniakan negara yang aman damai tanpa sebarang persengketaan... hulurkan bantuan sedaya mungkin bagi meringankan beban saudara2 kita... ikhlaskan hati... insyaallah, ganjaran Allah sentiasa menanti...

#SaveGaza #SavePalestin

Friday, December 14, 2012

Maafkan Kami Palestin dan Syria



derita kita
derita kita menanti..majunya negara
derita kita kerana jualan di kedai yang kurang memberansangkan
derita kita belum dapat bantuan subsidi
derita kita kerana anak tidak lulus periksa

derita mereka apabila anak-anak mereka menjadi kubu 
daripada ditembusi oleh peluru peluru yahudi yang merobek kulit
mengeluarkan isi perut anak-anak kecil yang tidak berdosa.
itulah derita para ibu di bumi Gaza..

para ibu di negara kita..
derita belum sempat membeli gelang baru 
belum sempat membeli rantai baru
belum sempat menempah siap pakaian baru
samakah kita dengan mereka???

bumi gaza...2012..

menjadi tontonan cerita perang dalam televisyen setiap umat Islam 
yang jumlahnya berbilion-bilion..

wahai Gaza..

kami saudara kamu
seagama dengan mu
kami lelaki-lelaki sekuat mu juga
kami memohon ampun kepada mu wahai gaza

kami memohon ampun kepada mu wahai Syria
kerana kami tidak menghantar kereta-kereta kebal kami
yang hanya kami gunakan pada hari kemerdekaan
minta maaf wahai rakyat Palestin, Syria

kami ada tentera, tetapi kami tidak mampu pergi kepada kamu
mohon kemaafan banyak-banyak
kami hanya menjadi penonton
di mana darah-darah anak mu,isteri-isteri mu jatuh 
titisan demi titisan di atas bumi yang sangat suci

wahai Gaza

walaupun kami tidak dapat pergi dengan jasad
terimakan lah juga roh kami untuk bersemadi bersama para syuhadamu

wahai Syria

walaupun kami tidak sempat untuk berperang bersamamu
terimalah nyawa kami untuk terus menguatkan jasad-jasad kamu 
melawan segala yang jadi musuh Allah

wahai Gaza

wahai Palestin
wahai Syria
maafkan kami
terima lah doa daripada kami
dan sudilah kiranya roh-roh kami bersemadi bersama jasad-jasadmu





Hasil Nukilan : Ustaz Azhar Idrus
Sumber : 2012
Bicara Kata : 
Semoga ALLAH selamatkan saudara kita dibumi palestin... 
#SaveGaza

Tuesday, August 28, 2012

Kemerdekaan Ini



Kemerdekaan ini apakah maknanya kepada bangsaku?
kata mereka kemerdekaan itu adalah maruah
tapi benarkah seperti kata mereka itu?
tidakkah setiap hari, setiap waktu
sejak merdeka dulu pun
maruah itu dipermainkan
malah oleh bangsaku sendiri?
kata mereka kemerdekaan itu adalah kebebasan
tapi benarkah seperti kata mereka itu?
tidakkah setiap hari, setiap waktu
sejak merdeka dulu pun
kebebasan itu telah diperkotak-katikkan?


Kata mereka kemerdekaan itu adalah ruang
untuk kita membangun ekonomi
untuk kita menyusun masyarakat
dan mengatur kehidupan sosial
serta memperkasakan politik kita.
tapi benarkah seperti kata mereka itu?
tidakkah setiap hari, setiap waktu
sejak merdeka dulu pun
ekonomi kita bergantung kepada orang lain
sosial kita bergantung pada orang lain
politik kita bergantung pada orang lain?


Benar kata beberapa kawan terdekat
bahawa kita masih kuat sekarang.
Betul politik kita masih kuat
masih kuat apabila tidak ada perpecahan,
apabila ada perpecahan bagai mana?
waktu itu kata beberapa orang teman rapat:
beberapa ekor burung kita yang amat berharga
terlepas ke tangan orang lain


Bahasa Melayu adalah maruah
dan identiti Malaysia yang merdeka sebagaimana
tercatat dengan jelas dalam perlambangaan.
Sebagai bangsa bermaruah yang merdeka dan berdaulat
siapakah kini yang memperjuangkan kedudukan identiti.
Kedudukan maruah yang memperjuangkan bahasa Melayu
yang menjadi identiti
yang menjadi maruah itu?


Jangan bercakap tentang sejarah.
Dulu lain sekarang lain
dulu ahli politik kita sekaligus pejuang bangsa dan bahasa


Kata beberapa teman Ahli politik kita
sekarang terlalu sibuk
tidak sahaja menjaga kawasan dan pengundinya
tetapi sibuk juga dalam bidang political economy
saya pun tidak tahu apakah benar
atau salah ungkapan mereka
kerana saya pun tidak begitu faham
istilah yang mereka gunakan


Apabila politik kita rabak,
ekonomi kita tidak mendatangkan keuntungan lumayan
tambah pula keadaan sosial kita
hancur atau kalau pun tidak hancur
memang amat teruk
saya pun bertanya:
Kemerdekaan ini apakah maknanya kepada bangsaku?


Hakikatnya, kalau kita tidak merdeka
keadaan kita tentulah lebih teruk lagi.


Sutung Umar RS


Hasil Nukilan : Sutung Umar RS / Wan Umar Bin Wan Ahmad
Sumber : Antologi Puisi Patriotik, Biro Tatanegara, 2005
Bicara Kata :
apakah maknanya kemerdekaan ini kepada kita?
anak-anak pasca merdeka yang hidup dilimpahi kemewahan
tanpa sedikit mengenal erti perik
tanpa susah payah mengharungi kemiskinan hidup

apakah kita ini sekadar malaungkan kalimah 
"MERDEKA!!! MERDEKA!!! MERDEKA!!!"
tanpa ada sedikit rasa kesyukuran
tanpa secebis rasa kebanggaan

janganlah... janganlah cemarkan
kesucian tanah merdeka ini
dengan onak duri hidup budaya barat
dengan jiwa penuh hasad dengki...


SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-55

Tuesday, July 31, 2012

31 Julai Hari Pahlawan



 Duhai pahlawan wira negara
Namamu diukir kebanggaan bangsa
Kerana kau, hadirnya bangsamu dibumi
Jasamu dikenang pengorbananmu dijulang
Mengerah kudrat segala keringat
Membawa Melayu dimata dunia


Dulu


Tercabar maruah bangsa dek penjajah
Tersingkir hak peribumi anak-anak watan
Terlerai ikatan keluarga oleh kekejaman
Kau menentang menuntut pembelaan
Kau berjuang menuntut kebebasan
Mengalir darahmu dibumi ini


Tajam menghunus keris keramat
Tersusuk didada tempat memahat
Kala diusik pantang dicabar
Ayuh maju tak pernah mundur
Setapak menapak keris nyawanya
Sanggup berkorban dimedan tempur


Laksamana Hang Tuah lima bersaudara
Kekebalan Tok Janggut dan Datuk Bahaman
Tak ketinggalan hebat Leftenan Adnan
Terpisah nyawanya dari jasad
Dikala senjata dihunus menentang musuh
Rebahnya mereka kebumi demi tanah tercinta ini


Kini


31 Julai Hari Pahlawan
Kita raikan pejuang kemerdekaan
Kita kenang pendekar Melayu
Kita julang jasa pahlawan
Yang banyak berkorban dan terkorban
Demi agama bangsa dan negara




~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

TUGU NEGARA


Hasil Nukilan : SAIFUL BASRI ABDULLAH / KotakMancis
Bicara Kata : 
marilah sama2 kita bersyukur dengan apa yang kita kecapi hari ini
sesungguhnya pengorbanan pahlawan2 tanah melayu sangat besar nilainya...
kerana mereka kita dapat hidup aman damai bebas dari penjajahan

TERIMA KASIH PAHLAWAN

Saturday, June 16, 2012

Seekor Tuntung Tua



Disana...
Ku lihat seekor tuntung tua
Yang sedang menghitung usia
Entah hari ini atau esok dia kan pergi
Meninggalkan dunianya yang penuh sengsara


Tuntung tua itu
Masih lagi di situ
Ku lihat wajahnya yang lesu
Dulu dia bisa makan segalanya
Kini hanya air mata manjadi santapannya


Tuntung tua itu
Masih lagi di situ
Masih menilai adakah dirinya lebih berharga dari permata
Hingga sanggup manusia berdusta


Tuntung tua itu
Masih lagi di situ
Mengenang nasib keturunannya
Selamatkan dari pencemaran atau manusia yang berajakan wang
Semuanya berlegar dalam fikirannya


Tuntung tua itu
Tidak lagi di situ
Pantas dia pergi pabila melihatku menghampiri
Pasti dia merasa aku manusia durjana




Hasil Nukilan : Sofiah Bt Mohamad (SMK Seri Iskandar)
Sumber : Kompleks Tuntung Bota, Perak
Bicara Kata :
teringat kembali saat aq mewakili polimas 
dalam EKSPLORASI SUNGAI PERAK tahun 2009
hari terakhir kami dibawa melawat tempat penjagaan tuntung
disini baru kenal rupa tuntung yang sebenarnya


Angah, Pitnen, Pak-key, Aku, Yana, Akmal, Kak Su
(tiada dalam gambar : En. Nik, En. Fahmie, Suhaimi)

Sunday, June 10, 2012

Pelengkap Hidupku




sudah terang lagi bercahaya
bagaikan malam bulan purnama
inginku luah tidak terdaya
sungguh pedih jiwaku, oh! mama


kala malam terbayang wajahnya
tersimpul malu manis senyuman
milik siapakah yang empunya
inginku milikimu buat peneman


walaupun kita jarang bersua
namun dihati tak terasa jaraknya
akan ku curi hatimu jua
walau jauhnya dihujung dunia


duhai si manis pujaan hati
adakah dikau sedar cintaku
hatiku merindu separuh mati
menanti dikau pelengkap hidupku


panahan asmara tidak bermata
tepat kehatiku tidak ku pinta
baru ku tahu butanya cinta
hadirnya membuat hatiku menderita




Hasil Nukilan : SAIFUL BASRI ABDULLAH / KotakMancis
Bicara Kata :
luahan hati buat sang hawa
gerangan pelengkap hidup ini suatu hari nanti
:)

Wednesday, May 16, 2012

Coretan hati buatmu GURU


Guru

Apa khabarmu disana?
Telah lama kau menabur jasa
Sejak ku dibangku sekolah, hingga ke menara gading
Tak pernah putus pengorbananmu buatku
Tak terhitung jasamu sepanjang hayatku
Sungguh tinggi tarafmu bagiku


Guru

Perjuangan mu sangat terpuji
Mencurah keringat selanjut usiamu demi anak watan
Tidak sedikit kau mengeluh, tidak sedikit kau merungut
Tiada tanda jemu diraut wajahmu
Walau berdekad sudah dikau berbakti
Menyemai benih-benih ilmu kedasar hati anak bangsamu


Guru

Kau ibarat sebatang lilin
Sebatang lilin yang setia menemani jalanku
Memberikan aku secebis cahaya
Buat daku menerangi hari-hari yang gelab
Cahayamu membuatkan hatiku bagai disinari
Yang menjadikan aku seorang manusia bergelar insan


Guru

Jika hari ini aku seorang pencinta keamanan
Jika hari ini aku seorang penegak keadilan
Jika hari ini aku seorang pemimpin negara
Semuanya keranamu
Hasil curahan ilmu yang engkau taburkan
Disetiap pintu hati anak merdeka ini



 Guru
Tanggal 16 Mei 2012 datang kembali
Terimbau olehku kenangan-kenangan dikau mendidikku
Ku harapkan perjuanganmu terus jitu
Ku harapkan keringatmu terus teguh
Supaya anak-anak Malaysia dapat mengenalimu

Dapat merasai betapa besar nilai pengorbananmu


“Guru Inovatif Melonjakkan Tranformasi Pendidikan Negara”
SELAMAT HARI GURU


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Hasil Nukilan : SAIFUL BASRI ABDULLAH / KotakMancis
Bicara Kata :

aq coretkan secebis kata-kata buat insan yang telah banyak mendidik aq sehingga mencapai ketahap ini, sesungguhnya pengorbanan cikgu2, pensyarah2 semua sangat besar nilainya bagi diriku, semoga tahun 2012 ni mendatangkan lebih kerahmatan, kesihatan dan kecerian buat warga pendidik semua


SELAMAT HARI GURU, CIKGU

Wednesday, March 28, 2012

Sajak SMKPT

-assalamualaikum-



Saujana Luas Wawasanmu

Menggamit semangat insan waja
Merapat impian meteri janji kota cita
Memahat nama mendiri persada
Mendaulat cinta agama dan bangsa


Sekolahku

Inilah syurga wargamu
Bersemadinya harapan watan
Pada setiap penjuru waktumu
Kuasamu penjana pencinta ilmu
Tak terpadam dek rintangan dugaan
Samarinda insan terpilih
Semoga akan lahir wira bangsamu
Dari kelopak kudup wangian kembangmu
Mengisi cintanya anak-anak desa
Pada wadah sepuncak mahligai gading


SMKPT

Sejenak bersamamu meniti usia ini
Masih terasa masa cemburukan waktu
Kemesraan kejujuran wargamu
Dan harmoninya gerakan nalurimu
Biarlah gunung cita yang dikejar
Kembali terang di balik bebayang jitu
Lalu membuka arah tujunya
Mencanai setianya warga bangsaku ini
Mendaki puncak jaya


Generasiku

Lembaran harapan ini
Terangilah dengan kerlip-kerlip bintangmu
Agar SMKPT yang kita kunjungi ini
Menjulang teraju pengalaman
Terpahat di setiap memori semalam
Sehingga kekal dalam ingatan setiap insan
Yang mengenali dan menyanjunginya



khas buat sahabat-sahabat SMKPT 2003-2007
facebook group SMKPT : Masihkah Kau Ingat? 1990


Hasil Nukilan : Sumber --> Majalah Teraju Edisi 2011 (SMKPT)
Bicara Kata : 
bila baca sajak sekolah
aq teringat balik saat2 suka duka
bersama dgn kawan2 n cikgu2
sesungguhnya masa sangat cepat berlalu
sdah 5 tahun aq meninggalkan SMKPT
namun kenangan terindah disana masih kekal dihati aq...
-TERIMA KASIH SMKPT-


wassalam
adiosss... amiosss...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Perjalanan Blog Aku

Daisypath Friendship tickers