Monday, December 24, 2012

Siapa Kita Disisi Mereka?




kita disaat ini
tekun belajar seharian di sekolah
bersuka ria melepak dan berkelah
tak menang tangan membeli belah
kaya buah-buahan tak cukup galah
segalanya tersedia tak usah berpenat lelah


mereka disaat ini
mengikat perut tak cukup bekalan
hilang keluarga dalam pergelutan
berlantai bumi berbumbung langit tiada kediaman
takkala bom tak henti-henti berdentuman
gugur syahid dalam peperangan menjadi idaman


kita ketika ini
merempit siang malam tak ingat rumah
bergaduh bertumbuk memaki menyumpah
semakin banyak yang jadi sampah
akhlak dan adab dah tak diendah
masih bangga mengaku "tanah darahku tumpah"


mereka ketika ini
gagah bangkit walaupun dipijak
tak pernah berundur walau ditolak
berkecai badan ditembusi peluru dan jentolak
sanggup mati dari tergadainya akhlak
oleh kekejaman orang-orang tak berotak


disaat ini
pernahkah kita terfikir
siapa kita? siapa mereka?
pernahkah kita berfikir
sanggupkah kita menerima ujian sebesar mereka?
pernahkah kita memikirkan
apakah nasib mereka kelak?


ketika ini
kita menyaksikan kekejaman
hanya doa dan bantuan mampu dihulurkan
semoga mereka cekal meneruskan kehidupan
bersabar bersabar bersabar menempuhi ujian
suatu hari pasti ada sinar harapan
yang pasti merubah segala keperitan





Hasil Nukilan : SAIFUL BASRI ABDULLAH / KotakMancis
Bicara Kata : 
luangkan sedikit masa kita untuk mengapdate berita-berita terkini berkaitan saudara2 seagama kita yang bertarung nyawa menegakkan Islam... sesunggunya kita sngat bersyukur kerana dikurniakan negara yang aman damai tanpa sebarang persengketaan... hulurkan bantuan sedaya mungkin bagi meringankan beban saudara2 kita... ikhlaskan hati... insyaallah, ganjaran Allah sentiasa menanti...

#SaveGaza #SavePalestin

Friday, December 14, 2012

Maafkan Kami Palestin dan Syria



derita kita
derita kita menanti..majunya negara
derita kita kerana jualan di kedai yang kurang memberansangkan
derita kita belum dapat bantuan subsidi
derita kita kerana anak tidak lulus periksa

derita mereka apabila anak-anak mereka menjadi kubu 
daripada ditembusi oleh peluru peluru yahudi yang merobek kulit
mengeluarkan isi perut anak-anak kecil yang tidak berdosa.
itulah derita para ibu di bumi Gaza..

para ibu di negara kita..
derita belum sempat membeli gelang baru 
belum sempat membeli rantai baru
belum sempat menempah siap pakaian baru
samakah kita dengan mereka???

bumi gaza...2012..

menjadi tontonan cerita perang dalam televisyen setiap umat Islam 
yang jumlahnya berbilion-bilion..

wahai Gaza..

kami saudara kamu
seagama dengan mu
kami lelaki-lelaki sekuat mu juga
kami memohon ampun kepada mu wahai gaza

kami memohon ampun kepada mu wahai Syria
kerana kami tidak menghantar kereta-kereta kebal kami
yang hanya kami gunakan pada hari kemerdekaan
minta maaf wahai rakyat Palestin, Syria

kami ada tentera, tetapi kami tidak mampu pergi kepada kamu
mohon kemaafan banyak-banyak
kami hanya menjadi penonton
di mana darah-darah anak mu,isteri-isteri mu jatuh 
titisan demi titisan di atas bumi yang sangat suci

wahai Gaza

walaupun kami tidak dapat pergi dengan jasad
terimakan lah juga roh kami untuk bersemadi bersama para syuhadamu

wahai Syria

walaupun kami tidak sempat untuk berperang bersamamu
terimalah nyawa kami untuk terus menguatkan jasad-jasad kamu 
melawan segala yang jadi musuh Allah

wahai Gaza

wahai Palestin
wahai Syria
maafkan kami
terima lah doa daripada kami
dan sudilah kiranya roh-roh kami bersemadi bersama jasad-jasadmu





Hasil Nukilan : Ustaz Azhar Idrus
Sumber : 2012
Bicara Kata : 
Semoga ALLAH selamatkan saudara kita dibumi palestin... 
#SaveGaza

Tuesday, August 28, 2012

Kemerdekaan Ini



Kemerdekaan ini apakah maknanya kepada bangsaku?
kata mereka kemerdekaan itu adalah maruah
tapi benarkah seperti kata mereka itu?
tidakkah setiap hari, setiap waktu
sejak merdeka dulu pun
maruah itu dipermainkan
malah oleh bangsaku sendiri?
kata mereka kemerdekaan itu adalah kebebasan
tapi benarkah seperti kata mereka itu?
tidakkah setiap hari, setiap waktu
sejak merdeka dulu pun
kebebasan itu telah diperkotak-katikkan?


Kata mereka kemerdekaan itu adalah ruang
untuk kita membangun ekonomi
untuk kita menyusun masyarakat
dan mengatur kehidupan sosial
serta memperkasakan politik kita.
tapi benarkah seperti kata mereka itu?
tidakkah setiap hari, setiap waktu
sejak merdeka dulu pun
ekonomi kita bergantung kepada orang lain
sosial kita bergantung pada orang lain
politik kita bergantung pada orang lain?


Benar kata beberapa kawan terdekat
bahawa kita masih kuat sekarang.
Betul politik kita masih kuat
masih kuat apabila tidak ada perpecahan,
apabila ada perpecahan bagai mana?
waktu itu kata beberapa orang teman rapat:
beberapa ekor burung kita yang amat berharga
terlepas ke tangan orang lain


Bahasa Melayu adalah maruah
dan identiti Malaysia yang merdeka sebagaimana
tercatat dengan jelas dalam perlambangaan.
Sebagai bangsa bermaruah yang merdeka dan berdaulat
siapakah kini yang memperjuangkan kedudukan identiti.
Kedudukan maruah yang memperjuangkan bahasa Melayu
yang menjadi identiti
yang menjadi maruah itu?


Jangan bercakap tentang sejarah.
Dulu lain sekarang lain
dulu ahli politik kita sekaligus pejuang bangsa dan bahasa


Kata beberapa teman Ahli politik kita
sekarang terlalu sibuk
tidak sahaja menjaga kawasan dan pengundinya
tetapi sibuk juga dalam bidang political economy
saya pun tidak tahu apakah benar
atau salah ungkapan mereka
kerana saya pun tidak begitu faham
istilah yang mereka gunakan


Apabila politik kita rabak,
ekonomi kita tidak mendatangkan keuntungan lumayan
tambah pula keadaan sosial kita
hancur atau kalau pun tidak hancur
memang amat teruk
saya pun bertanya:
Kemerdekaan ini apakah maknanya kepada bangsaku?


Hakikatnya, kalau kita tidak merdeka
keadaan kita tentulah lebih teruk lagi.


Sutung Umar RS


Hasil Nukilan : Sutung Umar RS / Wan Umar Bin Wan Ahmad
Sumber : Antologi Puisi Patriotik, Biro Tatanegara, 2005
Bicara Kata :
apakah maknanya kemerdekaan ini kepada kita?
anak-anak pasca merdeka yang hidup dilimpahi kemewahan
tanpa sedikit mengenal erti perik
tanpa susah payah mengharungi kemiskinan hidup

apakah kita ini sekadar malaungkan kalimah 
"MERDEKA!!! MERDEKA!!! MERDEKA!!!"
tanpa ada sedikit rasa kesyukuran
tanpa secebis rasa kebanggaan

janganlah... janganlah cemarkan
kesucian tanah merdeka ini
dengan onak duri hidup budaya barat
dengan jiwa penuh hasad dengki...


SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-55
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Perjalanan Blog Aku

Daisypath Friendship tickers